Teknik Metafizik Bagi Melenyapkan Segala Trauma Dan Emosi Negatif


Rata-rata pesakit yang mengalami penyakit yang sukar diubati pada dirinya adalah datangnya dari orang yang amat gemar memendam emosi negatif dan trauma dalam jangka masa yang lama. Untuk pengatahuan tuan-tuan, andai kata trauma dan emosi-emosi yang negatif itu tersimpan di dalam tubuh dengan tempoh yang sangat lama, maka tubuh kita akan memberi signal kepada diri kita di dalam bentuk penyakit yang agak sukar untuk sembuh seperti migrain, gerd/gastrik, arthritis dll.

Di bawah ini adalah sedikit-sebanyak senarai emosi negatif yang tersimpan dan impak penyakitnya pada tubuh badan:

Penyakit Pada Tubuh Badan Punca Penyakit Itu Berlaku
Arthritis Suka mengkritik diri sendiri dan orang lain, terlalu pentingkan kesempurnaan.
Sakit Pinggang Bahagian atas: kurang mendapat sokongan emosi,
Bahagian tengah: kerap dihantui rasa bersalah,
Bahagian bawah: sentiasa risau tentang duit.
Migrain/Sakit Kepala Panas baran, suka kontrol, banyak berfikir tentang masalah.
Perut Kerisauan, kurang percaya diri, ketakutan.
Jantung/dada Menyayangi tetapi diri tidak disayangi, kerap bersedih hati.
Strok (tanpa asbab kemalangan) Selalu berfikiran negatif, jarang mendapat kegembiraan yang begitu lama.
Thyroid Suara hati, pendapat dan idea yang sentiasa takut untuk diluahkan.
Sistem saraf & otot Trauma lama yang tidak selesai, ketakutan yang berpanjangan.
Inilah jawapan kenapa hampir kesemua dari golongan spiritual (termasuk para Nabi) sentiasa menyarankan agar kita sentiasa berusaha untuk bertenang dan bersabar di dalam apa jua cabaran kehidupan yang sedang berlaku, segalanya agar ia tidak 'convert' menjadi penyakit. Keadaan emosi seperti marah, sedih, kerisauan dll., itu adalah lumrah dan fitrah kita sebagai manusia tetapi kita perlu bijak untuk mengawalnya agar ianya tidaklah berlarutan dalam jangka masa yang panjang.

Di bawah ini adalah teknik-teknik metafizik bagaimanakah untuk mengeluarkan segala trauma dan bebanan emosi negatif yang terpendam di dalam diri agar tidak menjadi penyakit pada tubuh badan. Teruskan pembacaan.

TEKNIK 1: TULIS DI ATAS KERTAS, LIPAT DAN BAKAR

Pernahkah tuan-tuan dibuli di tempat kerja? Diejek-ejek oleh ahli keluarga yang toksik? Jiran sebelah rumah kerap melakukan perangai yang menyerabutkan jiwa? Sudah tentu kita akan berasa 'panas' dan geram. Sekali lagi diingatkan, usah sesekali menyimpan emosi negatif itu di dalam diri, sediakan sahaja:

+ Pen,
+ Kertas A4,
+ Lighter panjang,
+ Sepit kain besi atau penyepit besi makanan.

Tarik nafas dalam-dalam dan lepaskan kemarahan tersebut dengan cara menuliskan makian di atas kertas A4 tanpa diketahui oleh sesiapa pun. Tulislah, lepaskanlah emosi marah di atas kertas A4 itu secara sepenuh emosi contohnya seperti ayat di bawah:

Contoh 1: "Dasar jiran sewel, asyik memekak-mekak karaoke tengah malam buta, kau ingat suara kau tu tak tembus masuk ke dalam bilik tidur aku ke? Nak tidur nyenyak pun susah, rasa macam nak bagi penampar je kat anak beranak! Dah la suara sumbang macam katak pisang, menyanyi jelah kat dalam kereta ke, kat dalam van jenazah ke, baru la tak mengganggu orang!",

Contoh 2: "Serabut betul la aku berkawan dengan si Wahab ni, jenis spesies kawan liabiliti, dok perabis duit orang je kerjanya.. asal bertemu je mengeluh tak ada duit, tak ada duit bla bla.. kerjanya nak pinjam duit, nak minta belanja makan dan macam-macam lagi. Lepas pinjam duit, harapkan orang halalkan.. Asal kau datang nak jumpa aku je, mesti sebab nak minta tolong macam-macam, nak kerah kudrat aku.. betul ke kau ni kawan? ke parasit? Aku spray dengan racun perosak karang baru tau! Rezeki kau sempit selama ini datangnya dari mindset dan kata-kata kau sendiri yang asyik mengeluh".

Perhatian, ianya mesti ditulis menggunakan tangan, bukan menulisnya menggunakan komputer, smartphone atau apa-apa jenis media digital. Tuliskan sepenuh emosi, sambil menangis-nangis pun tidak mengapa.

Selepas itu, lipatkan kertas tersebut sebanyak 3 kali lipatan, sila rujuk gambar rajah di bawah ini:


Setelah melipatkan kertas seperti di atas, kepitkan kertas lipatan itu dengan pengepit besi lalu dibakarkan kertas itu di luar rumah atau pejabat. Semasa sebelum atau sedang membakar kertas itu, niatkan di dalam hati atau lafazkan:

"Aku tidak mahu lagi perasaan dan kata-kata hati ini tersimpan di dalam diriku, maka aku melepaskan segala bebanan emosi negatif, kemarahan, dendam, sakit hatiku ini ke alam semesta, ianya tidak lagi tersimpan di dalam kalbu dan jasadku ini buat selama-lamanya".

Biarkan debu-debu kertas yang dibakar itu bertebaran diluar, jikalau ditiup angin,biarkan ianya tersebar ke alam semesta. Insha'Allah alam semesta akan 'purify' energi negatif tersebut.

TEKNIK 2: MENJERIT SEPUAS HATI PADA GAMBAR TIANG JAMRAH


Bagi sesiapa yang agak mencabar untuk menulis emosi negatifnya di atas kertas, maka tiada masalah, gunakan sahaja teknik melepaskan kemarahan dan bebanan emosi negatif itu dengan cara menjerit sepuas-puas hati. Teknik ini sesuai bagi sesiapa yang mengalami kemarahan secara spontan contohnya seperti selepas ditengking oleh bos, sedang terbaca komen-komen yang negatif di posting media sosial, isteri yang baru lepas berleter dengan nada yang sangat biadab, sedang geram dan cemburu pada seseorang dll. Untuk melepaskan bebanan emosi, anda hanya memerlukan:

+ Kereta,
+ Smartphone yang sedang memaparkan imej tiang Jamrah, Mekah.

Niatkan dahulu bahawa tuan-tuan ingin menyalurkan jeritan emosi negatif itu pada tiang Jamrah, Mekah, kemudian jeritkan sahaja sepuas-puas hati, jika mahu sehingga keluar air mata pun boleh, sehingga peti suara itu menjadi serak pun boleh, mahu menjerit banyak kali pun boleh asalkan segala kemarahan itu dikeluarkan sebanyak-banyaknya sahingga dada berasa reda dan tenang.

Usah sesekali menjerit membabi buta tanpa ada saluran 'point' iaitu gambar tiang Jamrah, kenapa? Sekiranya tuan-tuan menjerit tanpa ada 'point' ke manakah energi emosi negatif itu akan pergi atau disalurkan, maka energi itu akan terperangkap di tempat itu lalu akan berisiko menjahanamkan tempat itu contohnya:

+ Menjerit di dalam kereta: kereta akan mudah rosak tanpa sebab,
+ Menjerit di dalam rumah: rumah akan menjadi kelam dan perabot cepat mereput,
+ Menjerit pada bantal peluk: sesiapa yang guna bantal itu akan mendapat 'nightmare',
+ Menjerit pada orang: orang itu akan mengalami nasib malang dan sakit misteri.

Sekali lagi diingati, elakkan menjerit tanpa ada 'point' kemanakah energi itu akan pergi atau disalurkan. Google siap-siap gambar tiang Jamrah, lalu niatkan emosi negatif itu pergi ke sana. Jeritlah sepuas-puas hati sambil merenung tiang jamrah itu tanpa ada sesiapapun mendengarinya.

TEKNIK 3: BERISTIREHAT/BERTAHANUT DI DALAM MASJID YANG BESAR


Masjid adalah tempat untuk beribadah dan majlis ilmu. Semua orang (termasuk jin muslim) yang hadir ke masjid adalah membawa niat yang cukup positif iaitu mahu mendekatkan diri terhadap Maha Penciptanya. Maka segala energi niat yang baik/positif itu akan memenuhi keseluruhan ruangan di dalam dan di luar masjid. Energi positif tersebut akan dapat dirasai oleh sesiapa sahaja tatkala singgah dan masuk ke dalam masjid.

Jika tuan-tuan sedang memiliki bebanan emosi yang amat negatif, kesedihan, kemurungan, maka hadirlah ke masjid, selepas melakukan apa-apa jenis ibadah (ianya tidaklah wajib kecuali solat fardhu), maka teruskan beristirehat/bertahanut di dalam masjid itu selama mana yang boleh. Nikmati keindahan masjid tersebut, seraplah energi-energi yang positif di dalam masjid itu.

Tuan-tuan amat digalakkan untuk memilih masjid yang besar, luas dan kemas jika niat untuk hadir itu adalah bagi menenangkan diri, kenapa? Masjid yang luas akan memberikan kesan 'keluasan pada jiwa' dan dalam masa yang sama, pengudaraan di dalam masjid yang besar juga adalah sangat baik berbanding masjid-masjid yang kecil. Tuan-tuan turut juga digalakkan untuk menyedekahkan wang (ikut kemampuan) ke dalam tabung di masjid itu. Insha'Allah segala bebanan emosi akan perlahan-lahan beransur hilang.

TEKNIK 4: BEREHAT DI ALAM SEMULAJADI YANG BERUNSURKAN AIR


Carilah mana-mana sungai yang jernih dan jenis berbatu atau carilah mana-mana pantai yang kategori indah, maka tenangkanlah diri di sana. Jika mandi di sungai, biarkan air sungai itu membasahi diri, rendamkan tubuh ke dalam sungai dan niatkan:

"Sekarang ini, aku melepaskan segala bebanan emosi negatif, kemarahan, dendam, sakit hatiku ini mengalir bersama air sungai ini",

Atau jika tuan-tuan memilih untuk mengunjungi pantai, duduklah bersila di atas laluan ombak laut itu, biarkan ombak laut itu melanggar-langgar tubuh sehingga basah. Air laut adalah terdiri daripada garam, maka dari sudut metafizik, sifat garam adalah dapat membersihkan medan tenaga diri yang kotor (termasuk emosi negatif), layankan sahaja ombak laut yang melanggar-langgar tubuh itu sehinggalah jiwa merasakan ketenangan yang amat dalam. Itu sahaja.


Sebagai kesimpulan, terdapat pelbagai teknik untuk melepaskan bebanan emosi negatif dan trauma secara kaedah metafizik bagi mendapatkan ketenangan jiwa tanpa melibatkan orang lain. Antaranya termasuk menulis kemarahan di atas kertas sebelum membakarnya, menjerit pada 'point' iaitu tiang Jamrah, Mekah untuk melepaskan tekanan, atau mencari ketenangan di tempat seperti masjid yang besar, sungai berbatu, atau pantai yang indah. Dengan mengamalkan teknik-teknik ini, tuan-tuan dapat menenangkan diri dan menghadapi kehidupan dengan jauh lebih positif dan tenang. Risiko untuk mengalami penyakit juga menjadi kurang dengan cukup drastik!




Share:
Visit My URL

Kod QR Pembayaran Cahaya Metafizik™

Sebarang Pertanyaan, Nyatakan Di Sini













Jumlah Pengunjung Cahaya Metafizik™