Pada sambutan hari merdeka yang lalu iaitu 31/08/2022, kami tidaklah bercuti kerana perlu merawati pesakit yang hadir ke Cahaya Metafizik Centre yang datangnya jauh dari Johor Bharu.
Kedua-dua pasangan ini merupakan jurutera awam kanan, sebaya usianya dengan kami iaitu pertengahan 30-an. Suaminya cukup segak dan isterinya pula amat cantik. Mereka berdua pendengar yang baik serta terserlah kebaikan dari tutur katanya, alhamdulillah.
DITOLAK OLEH PAKAR HIPNOTERAPI
Pesakit kami merupakan sang isteri bagi pasangan ini. Kehidupan beliau pada asalnya adalah sungguh ceria dan bahagia tetapi ianya terhenti semasa beliau mengandungkan anaknya yang ketiga. Pada waktu itulah seakan-akan seperti ada serangan ghaib bertubi-tubi melanda dirinya. Semasa melahirkan anaknya itu pula, tubuh beliau dan anaknya mengalami gatal-gatal yang melampau lalu akhirnya anaknya meninggal dunia pada usianya mencecah 4-bulan. Sungguh sedih sekali.
Semenjak dari itu, beliau mengalami tekanan/burn out yang cukup hebat sehingga gatal-gatalnya semakin merebak di seluruh badannya termasuk wajahnya yang cantik itu. Semangat hidupnya semakin melemah. Beliau telah berjumpa dengan ramai perawat alternatif dan juga doktor perubatan tetapi tidak kunjung sembuh lantas akhirnya beliau bertemu dengan salah seorang pakar hipnoterapi yang terkenal di Malaysia.
Semasa sesi hipnoterapi itu dijalankan, alhamdulillah beliau dapat menerobos ke dunia minda di bawah sedar dirinya dengan baik lalu berusaha untuk memprogramkannya kembali agar tekanan yang beliau sedang alami itu menjadi beransur reda. Rawatan sedemikian memang efektif cuma sayangnya, pakar hipnoterapi itu terpaksa memberhentikan sesi rawatan itu dek kerana anak si pakar hipnoterpi itu telah diserang ganas oleh jin yang mengganggu diri beliau (pesakitnya itu).
Setelah beliau buntu, lalu beliau mendapat recommendation dari kenalannya untuk mendapatkan sesi temujanji rawatan dengan kami di Cahaya Metafizik Centre. Beliau lebih memilih untuk sesi rawatan secara hadir diri ke sini berbanding rawatan secara jarak jauh oleh kerana beliau dapat berjalan-jalan di Melaka sempena cuti kemerdekaan Malaysia.
ENTITI 'BERLARI' DI ATAS SILING PUSAT RAWATAN
Semasa sesi rawatan alternatif bersama kami sedang berlangsung, si suaminya yang sedang duduk di ruangan lobi Cahaya Metafizik Centre tiba-tiba terkejut kerana terdengar bunyi seakan-akan ada entiti sedang 'berlari' di atas siling dengan cukup kuat sekali. Si pesakit pula langsung tidak terdengar apa-apa disebabkan dirinya sedang menikmati rawatan sehingga tertidur lena. Apa-apa pun, ini adalah pertama kali siling di Cahaya Metafizik Centre berbunyi sedemikian semasa rawatan, tergelak-gelak kami ketika mendengarinya.
Sesi rawatan itu mengambil masa yang agak panjang sedikit berbanding pesakit lain pada sebelum-sebelum ini. Mujurlah suaminya bersifat penyabar dan penyayang, sanggup menunggu dan menjaga anak-anaknya di bahagian depan. Apa-apa pun sesi rawatan tamat dengan jayanya.
Kami akan pastikan beliau mesti gembira dan ceria selepas sesi rawatan dijalankan kerana itu adalah prinsip kami. Gembira itu adalah ubat yang sangat mujarab bagi kesembuhan. Setelah sesi rawatan tamat, kami kongsikan pula tip kepada beliau bagaimana untuk memprogramkan kembali minda di bawah sedarnya agar kembali normal, bahagia dan berasa cukup nikmat sepanjang berada di dunia ini. Hipnoterapi ringkas juga dijalankan dengan mengimbau kembali kenangan zaman kanak-kanaknya yang 'I am enough' pada waktu itu.